PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan masih samar terhadap cadangan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkenaan pembatalan entiti itu sebagai badan induk sepak takraw negara.
Malah menurut presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan, pihaknya lebih terkilan apabila PJS tidak menyatakan secara spesifik alasan-alasan untuk berbuat demikian.
"Ya, PSM telah menerima Notis Tunjuk Sebab Bagi Tujuan Pembatalan di bawah Seksyen 20(1)(b) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) pada 15 September 2022 dari Pesuruhjaya Sukan.
"Dalam notis itu PJS berpendapat bahawa PSM bukan lagi entiti yang patut dan wajar didaftarkan bagi mewakili sukan sepak takraw di negeri atau Malaysia.
"Namun sejujurnya begitu agak mengecewakan apabila PJS tidak menyatakan alasan secara spesifik untuk berbuat demikian,” katanya pada Khamis.
Susulan itu, Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan (PERSEWIP), pihaknya telah mengemukakan maklum balas kepada notis tersebut pada 28 September 2022 dengan menyatakan beberapa alasan kukuh yang menyokong bantahan terhadap cadangan pembatalan PSM oleh PJS.
Antara alasan dikemukakan kepada PJS jelas Sumali, adalah PSM masih merupakan satu-satunya badan sukan pengelola kebangsaan bagi sukan sepak takraw di Malaysia yang diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Tegasnya, melalui pengiktirafan ini, atlet sukan sepak takraw Malaysia tetap boleh menyertai kejohanan antarabangsa seperti acara Sukan SEA dan Sukan Asia melalui penyertaan dalam kontinjen negara di bawah MOM.
Selain itu katanya, PSM adalah satu persatuan yang masih bergiat aktif dan kini menaungi 11 ahli gabungan negeri dan lima ahli bersekutu. PSM juga tidak pernah melanggar mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta 576.
"Malah PJS telah dimaklumkan bahawa pada 21 September 2022, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur telah memberikan kebenaran kepada PSM untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar dan membatalkan pendaftaran MASTAF.
"Pendengaran bagi semakan kehakiman tersebut ditetapkan pada 5 Oktober 2022. Oleh itu, PJS tidak seharusnya membatalkan pendaftaran PSM sebelum mahkamah membuat keputusan berkenaan status pendaftaran MASTAF,” katanya.
Sementara itu, Sumali mengulangi pendirian PSM untuk bergabung dengan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF).
"PSM sentiasa komited ke arah penyatuan dan penggabungan antara PSM dan MASTAF.
"Malah, PSM dalam surat kepada PJS bertarikh 18 Ogos 2022 menyatakan hasrat itu dengan menetapkan beberapa syarat iaitu penggabungan secara en bloc dan pemilihan jawatankuasa yang baharu dengan segera.
"Namun, PJS dalam maklum balasnya pada 7 September menyatakan bahawa MASTAF menolak syarat-syarat tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun tegas Sumali, PSM masih terus optimis bahawa jalan penyelesaian bagi segala konflik yang berlaku ini dapat dicapai tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
"PSM berharap perbincangan bersama yang dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan serta PJS dapat direalisasikan segera demi kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw negara,” katanya.