SEJAK kebelakangan ini Merak Jalanan sering terima rungutan daripada anak-anak. Mereka dimarahi mak cik guard dan mak cik cleaner hanya kerana tidak membawa beg sekolah ketika hendak keluar membeli makanan serta menggunakan tandas ketika sedang dibersihkan.
Ada juga rungutan daripada anak-anak mengenai cikgu masing-masing yang pada pendapat mereka tidak perlulah sampai meninggikan suara dan menggunakan bahasa kasar semata-mata hendak menegur kelakuan mereka.
Dalam hal ini, Merak Jalanan juga tidak terkecuali apabila berdepan situasi pekerjaan harian dipertikaikan sehingga ada yang seolah-olah memberi amaran dan mengugut tanpa sedar.
Daripada senario itu, Merak Jalanan cuba membawa pembaca menilai perlakuan masyarakat hari ini yang pada pendapat Merak Jalanan, adab sesama manusia semakin hilang.
Amat menyedihkan dan menakutkan kerana masyarakat bukan sahaja hilang adab, malah budi bahasa dan kesopanan juga semakin ‘menjauh’.
Sekiranya yang tua menunjukkan contoh teladan tidak baik, bagaimanakah yang muda hendak mengikutnya?
Institusi pendidikan juga adalah rumah kedua bagi anak-anak menimba ilmu bersama ahli akademik yang dipercayai oleh ibu bapa bagi membantu mereka dalam aspek mendidik.
Jika pendidik gagal menunjukkan contoh dan teladan baik kepada anak murid, siapakah lagi yang menjadi sandaran ibu bapa untuk mendidik zuriat mereka menjadi insan beradab dan berakhlak mulia?
Merak Jalanan pernah terbaca kenyataan, kalau beradab tetapi tidak berilmu, mundur masyarakat. Kalau berilmu tapi biadab, pincang masyarakat.
Ia memperlihatkan adab dan ilmu harus jalan seiring. Kedua-dua elemen itu amat dititikberatkan dalam agama, malah untuk menjadi sebuah masyarakat bertamadun juga memerlukan adab dan ilmu.
Hakikatnya kita semua adalah sama, yang membezakannya adalah darjat dan pangkat.