Ini lebih gila dari penyokong Vietnam!

Iklan
Ribuan para penyokong Pasukan Malaysia beratur untuk membeli tiket menjelang Perlawanan Akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil Hari ini hari ini. - Foto Bernama
MENJELANG pertemuan pertama final Piala AFF Suzuki 2018, Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, situasi di stadium keramat Harimau Malaya itu pagi tadi mendapat perhatian seorang wartawan Vietnam.

Memetik laporan Foxsports, Tran Van Trung, wartawan akhbar Nghe An yang bertugas untuk membuat liputan aksi final itu ternyata kagum dengan situasi sebelum proses penjualan tiket di kaunter stadium dibuka pada jam 9 pagi.

Katanya, beliau tidak pernah menyaksikan semangat kegilaan penyokong Harimau Malaya mendapatkan tiket seperti penyokong di Vietnam.

"Saya tak pernah lihat suasana ini, orang ramai beratur sejak tengah malam, beberapa jam sebelum daripada kaunter dibuka. Ini lebih gila daripada penyokong Vietnam!

"Saya harap kesemua mereka yang beratur berjaya membeli tiket seterusnya dapat menyaksikan perlawanan yang hebat di Bukit Jalil.” katanya.

Van Trung turut menjelaskan proses penjualan tiket di negaranya di mana penjualan secara fizikal hanya dibuat ketika saingan di peringkat kumpulan.

"Bagi aksi separuh akhir dan perlawanan akhir, semua tiket dijual secara online,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam, habis dalam masa singkat.

Sementara baki sebanyak 40,000 keping tiket dijual secara fizikal di SNBJ dan juga butik Football Republic, Sunway Pyramid.

Malaysia mencatat keputusan agregat seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir namun mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.