SALINA MUHAMMAD, 25, berpuasa sunat hari ini. Beliau mahu meraih pahala apatah lagi dalam bulan Syaaban ini.
Namun, secara tiba-tiba rakan baiknya yang datang dari kampung datang ke pejabatnya di Kuala Lumpur dan mengajaknya makan bersama.
Mahu ditolak, beliau berasa serba salah kerana rakannya datang dari jauh. Akhirnya, dirinya mengambil keputusan membatalkan puasanya hari ini.
Namun, di benaknya beliau terfikir. Perlukah beliau qada puasa sunat yang dibatalkannya itu?
Dalam hal qada (menggantikan) puasa sunat yang dibatalkan ini, para ulama berbeza dua pendapat.
Pendapat pertama, tidak wajib untuk menggantikan puasa mutlak secara mutlak sama ada meninggalkannya kerana mempunyai keuzuran atau tidak.
Ini kerana puasa sunat tidak wajib pada permulaannya, maka, tidak wajib untuk menggantikannya jika ia dibatalkan.
Ia merupakan pendapat mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali.
Daripada Aisyah RA, beliau berkata: Nabi SAW telah datang kepadaku pada suatu hari lalu bertanya:"Adakah di sisimu sesuatu (makanan)?". Aku menjawab:"Tidak", Nabi SAW berkata:"Jika begitu, aku berpuasa". Kemudian baginda mendatangi aku pada hari yang lain, maka aku berkata:"Ya Rasulullah, aku telah menerima hadiah hais (sejenis makanan Arab yang terdiri daripada campuran kurma, keju dan minyak)", maka baginda bersabda:"Bawakan kepadaku, sesungguhnya aku telah berpuasa pada waktu pagi, maka sekarang aku akan makan." (Riwayat Muslim)
Pendapat kedua pula adalah wajib menggantikan puasa sunat yang dibatalkan kecuali pada lima hari yang diharamkan untuk berpuasa iaitu hari raya puasa, hari raya korban dan tiga hari tasyrik.
Namun, ia hanya pendapat fuqaha' dari mazhab Hanafi.
Ia berdasarkan hadis, daripada Aisyah RA, beliau berkata,"Aku dan Hafsah telah diberikan hadiah makanan dan kami berdua berpuasa, maka kami membuka puasa”. Kemudian Rasulullah SAW datang kepada kami, lalu kami berkata:"Ya Rasulullah, sesungguhnya kami telah diberikan hadiah, kemudian kami berasa lapar lalu kami membuka puasa”. Maka Rasulullah SAW bersabda:"Tidak mengapa, ke atas kamu berdua menggantikannya pada hari lain.” (Riwayat Abu Daud)
Namun, Imam Nawawi menilai hadis ini sebagai lemah dalam kitabnya, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab.
Dalam hal ini, kesimpulannya, majoriti ulama berpandangan tidak wajib menggantikan puasa sunat yang dibatalkan.
Walaupun begitu, apabila menghimpunkan hadis Aisyah dan Hafsah yang diperintahkan Nabi untuk berpuasa ganti sunat, maka, ia menjadikan hukumnya adalah sunat.
Ia berdasarkan Ithaf Zawi al-Basa'ir bi Syarh Raudhah al-Nazir,"Sesungguhnya, mengqada yang sunat itu hukumnya sunat sebagaimana mengqada yang wajib itu hukumnya wajib."
Semoga ALLAH memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih untuk memahami syariat-Nya.
(Sumber: Al=Kafi #1198: Mengganti Puasa Sunat yang Dibatalkan, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)