NASIB kurang menyebelahi petinju profesional negara, Adli Hafidz Md Pauzi dalam pertarungan 'Fight of the Future' apabila terpaksa akur tewas kepada petinju India, Shiva Thakran pada Khamis.
Pertarungan itu adalah untuk merebut gelaran WBC Continental Asia.
Enggan mengalah Adli menjanjikan kebangkitan di pentas profesional selepas ini susulan kekalahan sulung dalam kariernya itu.
Pada pertembungan itu Adli memberi tentangan sengit sehingga pertarungan diheret ke pusingan ketujuh.
Walaupun ingin meneruskan pertarungan, 'goldenboy' terpaksa akur kecederaan di bahagian mata sekaligus memaksa pengadil perlawanan memberi kemenangan kepada petinju India itu.
Mahu melangkah ke depan Adli mendedahkan yang dia terbuka untuk melakukan pertarungan semula jika mendapat persetujuan kedua belah pihak.
Dia mahu menjadikan ia sebagai medan balas dendam buat rekod cemerlang yang ketika ini menjadi 10 kemenangan dan satu kekalahan.
"Dalam perlawanan semalam, ia merupakan pertembungan yang seimbang namun selepas pusingan ketujuh, terdapat pelanggaran di bahagian mata saya dan pengadil menghentikan perlawanan.
"Saya berharap untuk melakukan pertarungan ulangan dan membuat persiapan dengan lebih cemerlang untuk merampas semula kejuaraan," katanya. - Stadium Astro