Ratu Elizabeth 11 mangkat kerana usia tua

Iklan
Ratu Elizabeth II - Foto AFP

LONDON - Bekas pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II meninggal dunia akibat usia tua pada jam 3.10 petang pada 8 September lalu, menurut sijil kemangkatannya yang dikeluarkan pada Khamis atau hampir tiga setengah jam sebelum berita itu diumumkan kepada dunia.

Ratu yang berusia 96 tahun itu meninggal dunia di Istana Balmoral, Tanah Tinggi Scotland.

Iklan
Iklan

Mendiang ialah ratu paling lama berkhidmat dalam sejarah Britain dan memerintah sebagai ketua negara selama 70 tahun bermula dari 1952.

Sijil yang dikeluarkan oleh Rekod Kebangsaan Scotland menunjukkan kemangkatannya didaftarkan pada 16 September lepas oleh anakanda perempuan tunggalnya, Puteri Anne.

Iklan

Puteri Anne berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham pada 13 September lalu bahawa beliau hadir dalam tempoh 24 jam terakhir sebelum bondanya mangkat.

Kemangkatannya disahkan oleh Douglas James Allan Glass iaitu seorang doktor tempatan di kampung Braemar berhampiran Balmoral yang pernah berkhidmat dengannya selama 34 tahun.

Iklan

Akhbar The Times berkata, doktor tersebut berada di Istana Balmoral ketika Ratu Elizabeth II mangkat kerana menjalankan pembedahan rutin untuk kakitangan kediaman tersebut.

"Kami telah mengambil berat tentang kesihatan Ratu selama beberapa bulan. Saya berada di sekitar semasa kemangkatannya," kata doktor berusia 68 tahun itu dipetik sebagai berkata dan dilaporkan oleh AFP.

Ketika itu, anakanda sulungnya yang kini Raja Britain, Raja Charles III dan Puteri Anne berada di sisinya.

Tahap kesihatan Ratu itu merosot sejak tahun 2021 apabila beliau dirawat di sebuah hospital swasta London pada Oktober 2021. - Agensi