SHAH ALAM - Mudah menyesuaikan, rajin dan lebih setia dengan syarikat tempat bekerja menjadi faktor kebanyakan majikan di negara ini lebih memilih pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, keadaan itu secara tidak langsung menjadikan majikan lebih bergantung kepada pekerja daripada kedua-dua negara berkenaan.
"Pekerja Indonesia didapati lebih komited jika dibandingkan mereka dari negara lain, disamping cepat menyesuaikan diri dengan keadaan tempatan kerana budaya dan agama mereka tidak jauh berbeza daripada budaya dan agama penduduk tempatan.
"Mereka juga dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi, sebab itulah pekerja Indonesia ini dapat menyesuaikan diri dan memberi tumpuan ke atas kerja di tempat pekerjaan dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan pekerja asing lain.
"Pekerja Bangladesh pula boleh menyesuaikan diri dengan budaya tempatan dan belajar bahasa tempatan (Melayu) dengan lebih cepat. Ini penting untuk membolehkan mereka berkomunikasi tentang arahan-arahan kerja. Mereka juga didapati lebih setia dan menghormati majikan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai faktor yang menyebabkan majikan di Malaysia lebih menumpukan terhadap pengambilan pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh berbanding negara lain.
Tambahnya, tujuan utama pekerja daripada kedua-dua negara itu datang ke negara ini adalah untuk menambah pendapatan dan memperbaiki kehidupan mereka dan keluarga.
Bagaimanapun katanya, majikan menyambut baik syor kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja Indonesia dan Bangladesh.
Pada Ahad, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan menasihatkan majikan di negara ini agar tidak hanya bergantung kepada pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia yang kini dilihat semakin meningkat.
Sebaliknya beliau berkata, mereka perlu mencari alternatif daripada 12 lagi negara yang telah dibuka.