101 buah SMK di kawasan Felda terima manfaat pendidikan dengan peruntukan RM3 juta
Inisiatif Smart Classroom Felda yang telah dilaksanakan sejak 2020 selaras dengan Well Formed Outcome (WFO) Felda menjelang tahun 2040.
Ia menjadi platform melonjakkan potensi dan bakat pelajar di sekolah serta memberi peluang menyesuaikan diri dengan dunia pendigitalan teknologi pintar seiring perkembangan teknologi pada masa kini.
Inisiatif ini telah dirasmikan oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 11 November 2020 secara virtual di Menara Felda, Kuala Lumpur.
Proses pembekalan peralatan asas ICT telah dibuat secara berperingkat dan telah siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2021 di 101 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di kawasan rancangan Felda dengan peruntukan kewangan RM3 juta.
Muhammad Ammar Arif Fadzilah, 15, dari SMK Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan berkongsi keterujaannya menjadi salah seorang pelajar bertuah yang dapat menggunakan kemudahan ini.
"Saya rasa seronok dan sangat gembira kerana kelas ini membolehkan saya menggunakan komputer semasa pembelajaran di dalam kelas. Saya dapat mencari pelbagai maklumat yang tiada dalam buku teks dengan menggunakan satu klik sahaja.
"Pelbagai kelebihan dan manfaat jika saya menggunakan Smart Classroom ini. Misalnya, saya dapat belajar tanpa menggunakan buku fizikal tetapi menggunakan e-book atau laman web yang terdapat dalam Internet.
"Ini mengurangkan beban kami kerana penggunaan e-book sebagai medium dan platform pelajaran mampu menggantikan buku teks yang digunakan pada hari ini,” katanya.
Inisiatif ini dijangkakan dapat memberi manfaat kepada lebih 40,000 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga 5 di semua sekolah yang terlibat.
Nilai tambah
Pelaksanaan inisiatif ini juga selari dengan hasrat Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran abad ke-21 yang memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar terutamanya generasi baharu Felda.
Sentimen yang sama juga dikongsi oleh seorang lagi pelajar, Muhammad Hanif Hassim, 16, yang menerima manfaat daripada bahan pembelajaran yang lebih menarik.
"Saya teruja ikuti kelas yang disediakan oleh Felda kerana aktiviti pembelajaran dapat dilakukan melalui media audio visual jika dibandingkan dengan membaca berhalaman-halaman buku.
"Selain itu, saya juga berasa seronok dan tidak bosan untuk mencari maklumat dengan menyertai Smart Classroom kerana ia mengandungi visual-visual yang sangat menarik dalam pembelajaran,” tambahnya.
Selain dapat memaksimumkan perkembangan pembelajaran dari segi kemahiran pemikiran tinggi, ia turut membina keterbukaan minda pelajar dalam mengintegrasikan proses pembelajaran yang berteraskan teknologi.
Iman Haiqal Khairul Izwan, 17, pula berasa sangat bangga dengan sekolahnya yang mempunyai fasiliti pendidikan digital yang canggih.
"Dengan adanya bilik ini, ia dapat membantu saya mencari maklumat yang lebih terperinci mengenai
sesuatu topik. Bilik ini juga mempunyai penghawa dingin yang dapat menambah keselesaan kami untuk belajar.
"Saya juga dapat belajar dengan guru secara maya kerana bilik ini dilengkapi dengan televisyen dan dapat memudahkan cikgu untuk mengajar.
"Kesannya, saya lebih mudah untuk memahami sesuatu bab yang sedang dipelajari. Selain itu, saya dapat belajar untuk mendisiplinkan diri dengan cara mengadakan perbincangan bersama kawan sekelas dan dapat mengurangkan beban guru,” ujarnya.
Pendidikan digital
Sementara itu, guru-guru turut mengalu-alukan inisiatif yang dilihat tepat pada masanya bagi membolehkan pelajar-pelajar di luar bandar dapat menerima pendidikan digital yang berkualiti.
Kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merealisasikan pelaksanaan Smart Classroom ini turut memberi manfaat kepada guru-guru yang dapat memaksimumkan wadah pendidikan demi menarik minat pelajar.
Pembelajaran dalam kelas ini dapat dilaksanakan dengan lebih interaktif sekali gus mengetengahkan sisi kreatif pelajar.
Guru Penyelaras Smart Classroom di SMK Bandar Baru Serting, Amirul Shafik berbesar hati menyelia kelas ini yang turut digunakan bagi aktiviti kokurikulum di sekolah.
"Terdapat banyak aktiviti kokurikulum atau koakademik yang dilaksanakan di kelas ini terutama aktiviti yang berpusatkan teknologi digital dan rakaman. Bilik ini juga menyediakan ruang dan kemudahan untuk rakaman di sekolah.
"TVPSS SMK Bandar Baru Serting atau ClassTech TV menjadi peneraju utama dalam aspek rakaman dan kewartawanan yang menggunakan kemudahan Smart Classroom ini,” katanya.
Amirul juga menyifatkan pendidikan kelas ini dapat memupuk sifat kepimpinan murid melalui aktiviti yang dijalankan kerana ia selari dengan arus transformasi pendidikan.
"Kelas ini juga dapat memupuk pembelajaran berteraskan murid yang menjadi asas utama di sekolah. Di sini guru-guru dapat melihat potensi dan kepimpinan murid terserlah apabila diberikan sesuatu tugasan secara individu mahupun berkumpulan,” jelasnya.
Beliau yang telah berkhidmat selama empat tahun di sekolah itu berharap agar inisiatif ini dapat diperluas dan diperhebatkan lagi.
"Inisiatif-inisiatif pendidikan seperti yang dilaksanakan Felda ini perlu diperluaskan lagi oleh agensi-agensi lain untuk sama-sama mengubah landskap pendidikan negara agar lebih progresif. Ini pastinya dapat menyokong usaha KPM dalam mentransformasikan sistem pendidikan nasional,” ujar beliau.