GTA perlu menang PRU15, pulih kestabilan politik

Iklan
Mahdzir Ibrahim. - Foto Facebook Mahdzir Ibrahim

JOHOR BAHRU - Gerakan Tanah Air (GTA) perlu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan semula negara ke landasan yang betul sekali gus memulihkan kestabilan politik.

Timbalan Ketua Penerangan GTA, Mahdzir Ibrahim berkata, penting untuk GTA menguasai tampuk kepimpinan dalam usaha mengembalikan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik kepartian.

Iklan
Iklan

Penyelaras Parlimen Parit Sulong itu berkata, GTA akan bergerak bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang tidak menyertai parti politik bagi menjayakan hasrat itu.

"GTA bergerak bersama NGO dan individu yang bukan parti politik agar kartel-kartel politik ini tidak lagi bermaharajalela hingga menyebabkan politik dan pentadbiran negara tidak stabil. GTA adalah gerakan rakyat yang akan ditabdir oleh rakyat, bukan parti politik.

Iklan

"Sekalipun tugas ini sukar dan hampir mustahil, kita tetap yakin usaha ini akan dapat dilakukan dengan keyakinan dan kerja keras. Dengan izin ALLAH kita akan berjaya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berpendapat, Malaysia masih belum matang dalam mengurus dan mentadbir politik kerana kepentingan politik kepartian dalam mana-mana parti mendahului kepentingan negara.

Iklan

Malah katanya, terdapat kartel-kartel politik sanggup bekerjasama dengan parti yang kalah hingga menyebabkan politik negara kacau bilau dan hilang kestabilannya, akhirnya menjejaskan rakyat serta negara.

Menurut Mahdzir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpakat dengan UMNO untuk menubuhkan kerajaan atas nama untuk kepentingan rakyat dan negara.

Namun katanya, tanpa disedari mereka telah mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan secara terbuka apabila mendapat sokongan termasuk UMNO untuk menubuhkan kerajaan, juga atas nama kepentingan rakyat dan negara sedangkan Anwar lupa bahawa rakyat telah menolak UMNO dalam PRU13.

"Walaupun usaha beliau gagal, namun Anwar terus kerjasama menerusi perjanjian persefahaman (MOU) dengan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) dan BN. Ini juga langkah yang tidak menghormati mandat rakyat dalam PRU14 lalu," ujarnya.

Sungguhpun PN dan PH menggunakan nama 'atas kepentingan rakyat', beliau berkata, rakyat boleh menilai secara prinsip pihak yang sebenarnya beretorik dan tanpa disedari kedua-dua blok politik itu dipergunakan UMNO.