Ismail Sabri arah siasatan lanjut ke atas Tommy Thomas

Iklan
Ismail Sabri mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy Thomas.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan wujud salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, arahan itu dibuat susulan pembentangan laporan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang ditulis Tommy dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

"Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan Kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tan Sri Tommy Thomas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah Ismail Sabri, siasatan yang akan dijalankan antaranya di bawah Seksyen 124I Kanun Keseksaan - Penyebaran Laporan Palsu.

Ismail Sabri mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy Thomas.

Ujarnya, Pasukan petugas khas siasatan itu mengambil masa sembilan bulan bermula Disember tahun lalu untuk melengkapkan laporan dengan memperincikan setiap dakwaan-dakwaan yang disebut oleh Tommy dalam bukunya itu.

Iklan

Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan akhir PPK yang dipengerusikan oleh Penasihat Undang-Undang kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung telah mengenal pasti 19 isu penting yang memerlukan perhatian kerajaan berikutan dakwaan yang terdapat dalam buku tulisan Tommy itu.

Jelasnya, laporan akhir PPK yang mengkaji dakwaan dalam buku itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan seterusnya.

Untuk rekod, pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.

Buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan Tommy mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.