Mahu cepat alasan langgar lampu merah

Iklan
Wan Mohd Zahari

KUANTAN - Melanggar lampu isyarat merah antara kesalahan paling banyak dikesan dalam Ops Lampu Isyarat Merah yang diadakan di lapan lokasi di sekitar daerah ini.

Dalam operasi yang bermula pada 15 September dan berakhir pada Jumaat, sebanyak 941 notis saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 767 saman dikeluarkan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

Polis trafik cawangan IPD Kuantan mengeluarkan saman kepada pemandu yang didapati melanggar peraturan lalu lintas.

"Antara alasan yang diberikan pemandu atau penunggang melakukan kesalahan itu ialah ingin cepat sampai ke lokasi yang dituju.

Iklan

"Pemandu dan penumpang yang paling ramai kita kerana melakukan kesalahan ini (langgar lampu isyarat) di sekitar Jalan Lim Hoe Lek dalam bandaraya Kuantan," katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas berakhirnya Ops Lampu Isyarat Merah di Taman Tas di sini pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, operasi yang diadakan bagi mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku di lokasi lampu isyarat.

Iklan

Tambahnya, berdasarkan statistik 1 Januari hingga Jumaat, sebanyak 49 kes kemalangan direkodkan sepanjang Januari sehingga September tahun ini melibatkan satu kemalangan maut manakala hanya 29 kes direkodkan pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

"Walaupun satu kes kemalangan maut, operasi ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa," tegas Wan Mohd Zahari.

Wan Mohd Zahari memantau Ops Lampu Isyarat Merah di sekitar jalan Taman Tas di sini pada Jumaat.

Selain itu, beliau memaklumkan operasi ini lebih kepada untuk mendidik pemandu dan penunggang supaya mematuhi peraturan lalu lintas terutama tidak melanggar lampu isyarat merah apabila berada di lokasi itu.

Sehubungan itu, Wan Mohd Zahari menasihati pemandu dan penunggang mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Kita pohon kepada pemandu dan penunggang motosikal supaya berhati-hati kerana setiap tindakan tanduk dalam pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV).

"Jadi, pengguna jalan raya lain perlu diutamakan dalam memastikan keselamatan apabila berada di jalan raya," ujar beliau lagi.