SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan partinya akan mencapai kebangkitan penuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segala kisah pengorbanan dan keazaman akan menjadi inspirasi terhebat mereka.
Beliau berkata, banyak yang telah mereka pelajari bersama sejak peristiwa hitam 9 Mei 2018 dan menjadikan UMNO lebih memahami tentang segala-galanya.
"Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, andai disingkap penuh ranjau menguji istiqamah serta kesabaran kita semua. Bemula dengan pembelotan, desakan bubar UMNO, pendakwaan terpilih, ancaman pendaftaran UMNO dibatalkan dan seumpamanya.
"Namun, alhamdulillah itu semua tidak pernah menjadi halangan kepada mereka yang setia kerana bagi kita, UMNO adalah parti keramat yang harus untuk kita bersama perjuangkan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, segala kisah suka duka UMNO harungi bersama akan menjadi catatan sejarah yang mendewasakan mereka.
"Saksikan betapa UMNO yang pernah dinaratifkan sebagai sudah tiada dan lenyap, 'inalillahi wainna ilahi raajiun' terus mara dengan penuh semangat juang sehingga hari ini," katanya.
Ahmad Zahid dalam masa sama turut menegaskan terdapat parti politik yang tidak pernah senang dan sakit hati dengan UMNO.
"Sentiasa mendabik dada akan menggantikan UMNO selepas dipropagandakan sudah berkubur, mencari jalan untuk UMNO bersubahat bersama mereka.
"Itu pun selepas mereka terlebih dahulu gagal untuk 'hijack' dengan mengambil alih UMNO bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka," ujarnya.