PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengesahkan situasi terkini di hospital-hospital yang menempatkan mangsa nahas bas kilang di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berada dalam keadaan terkawal.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak hospital dan petugas Kesihatan akan terus komited dalam meneruskan rawatan kepada mangsa yang terlibat di hospital terbabit.
"Bagaimanapun penyiasatan punca dan mekanisme kemalangan adalah di bawah bidang kuasa agensi yang berkaitan. Takziah diucapkan kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Dalam insiden berkenaan, mangsa-mangsa kemalangan telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Kajang.
Jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 44 orang di mana terdapat 11 kematian (9 kematian di tempat kejadian dan 2 kematian di hospital), 11 mangsa dalam keadaan kritikal, 14 mangsa separa kritikal dan 8 kes tidak kritikal.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kesan brek di lokasi kejadian: Polis
Terdahulu, bas berkenaan mengambil semua pekerja berkenaan dari hostel mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan untuk bertugas pada syif 12 tengah malam di MAS Kargo KLIA.
Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.10 malam, bas itu hilang kawalan dan terbabas menjunam ke dalam longkang besar sedalam 10 meter.