ASNB umum agihan pendapatan ASM 3 sebanyak 3.75 sen seunit

Iklan

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan untuk dana Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) sebanyak 3.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022.

ASNB turut mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan ASM 3 berjumlah RM573.66 juta, yang akan memberi manfaat kepada 551,685 pemegang unit yang memiliki 15.30 bilion unit.

Iklan
Iklan

"Secara keseluruhannya, dana ini merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM757.81 juta dan RM575.87 juta pendapatan bersih direalisasi di sebalik kebimbangan kemelesetan dan gangguan rantaian bekalan global yang menjejaskan prestasi pasaran global,” menurut PNB dalam kenyataan pada Jumaat.

PNB menambah, pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada hasil keuntungan yang direalisasi, dividen serta lain-lain pendapatan daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Iklan

Strategi kepelbagaian yang dilaksanakan oleh dana ini terus menunjukkan hasil yang positif dengan ekuiti antarabangsa menyumbang 40.9 peratus kepada pendapatan kasar keseluruhan dana, jelasnya.

Menurut PNB, pengagihan pendapatan ASM 3 adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 3.75 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.02 peratus iaitu sebanyak 173 mata asas bagi tahun kewangan setakat 22 Sept, 2022.

Iklan

Dalam tempoh yang sama, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut sebanyak 6.41 peratus daripada 1,537.80 mata pada penutup 30 September 2021 kepada 1,439.16 mata pada 22 September 2022 apabila indeks mula mencatatkan aliran keluar pelaburan asing walaupun situasi pandemik Covid-19 semakin bertambah baik, tambahnya.

Menurut PNB, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

"Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2022,” jelasnya.

Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platfom digital dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 30 September 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Oktober 2022 atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Oktober 2022. - Bernama