SHAH ALAM - Terdapat tiga punca yang menyebabkan seseorang individu terjebak dalam dunia 'dark side' atau lebih dikenali platform pelacuran moden yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak dan moral.
Speaker topik 'dark side', Naufal Nazri berkata, tiga punca tersebut merangkumi masalah keluarga, faktor kewangan dan kurang rasa keyakinan diri.
"Kebiasaan antara punca yang kita boleh lihat atau kita cuba selidik secara mendalam, kegiatan 'dark side' ini antara salah satu sebabnya berlaku akibat masalah keluarga.
"Ini kerana apabila silaturahim seseorang anak tidak rapat atau mendapat kasih sayang serta mendapat perhatian cukup, itu kemungkinan faktor utama menyebabkan mereka menunjukkan identiti mereka yang 'lain' di laman sesawang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program yang membincangkan topik bertajuk Jual Maruah Kini Trending Di Alam 'Darkside' itu turut menampilkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Naufal berkata, faktor kewangan juga memainkan peranan untuk mempengaruhi seseorang terjerumus ke dalam dunia 'dark side' tersebut.
"Ini menyebabkan mereka mencari jalan mudah dengan mendapat duit secara segera (fast money) menerusi akaun 'dark side'," ujarnya.
Beliau berkata, punca terakhir adalah golongan yang terjebak itu kurang keyakinan diri kerana ingin mendapatkan pujian.
"Apabila seseorang itu tidak mendapat pujian secara nyata, dia akan buat satu akaun 'dark side' dengan mempamerkan segala tubuh badan mereka.
"Setelah mendapat pujian dari berlainan jantina menyebabkan tahap keyakinan (confidence) diri itu sedikit demi sedikit meningkat.
"Apabila keyakinan, pujian dan duit sudah dapat serta ego menguasai diri sedikit demi sedikit golongan yang terlibat ini akan hanyut," jelasnya.
Tambahnya lagi, anak muda disebabkan faktor darah muda, jiwa memberontak selain tidak dapat kasih sayang yang penuh daripada ibu bapa menyebabkan mereka hanyut dalam dunia berkenaan.
Dalam pada itu, Naufal menjelaskan definisi 'dark side' ini merupakan sebuah akaun khususnya Twitter yang merahsiakan identiti sebenar dengan menunjukkan satu sifat yang berlainan.
"Ini kerana dalam laman 'dark side' ia membenarkan penggunanya menyembunyikan identiti sebenar dan mengeksploitasi akaun demi tujuan salah termasuk khidmat langganan seks dan memuat naik hantaran berkaitan pornografi.
'Kewujudan alam 'dark side' yang telah membarah di laman sosial di mana kebanyakan melibatkan anak muda yang menawarkan pelbagai khidmat seksual termasuk khidmat seks, menjual video lucah dan panggilan lucah adalah bertentangan dengan agama dan budaya kita," jelasnya.