SHAH ALAM - Semua proses melibatkan Visa Dengan Rujukan (VDR) dilaksanakan sepenuhnya menerusi dalam talian dan tidak melibatkan proses manual ketika ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, proses ini melibatkan permohonan pengeluaran dan kelulusan menerusi sistem e-VDR.
Menurutnya, imigresen amat memahami keperluan pekerja asing oleh industri tempatan dari pelbagai sektor dengan melaksanakan proses e-VDR secara dalam talian.
"E-VDR yang terdapat dalam sistem MyIMMs memberi kelulusan visa kepada majikan setelah mereka diluluskan kuota oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Khairul Dzaimee berkata, sebanyak 229,151 permohonan untuk membawa masuk pekerja asing melalui e-VDR diterima bagi tahun 2022.
"Jumlah pekerja asing baharu yang telah masuk bagi tahun ini sehingga 30 September pula ialah seramai 101,502 orang, sementara jumlah pekerja asing sekarang adalah seramai 1,244,400 orang," katanya.
Menurut Khairul Dzaimee, pihaknya akan meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pekerja asing di negara ini.
"Majikan kini boleh membaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau permit kerja mereka melalui sistem e-PLKS.
"Imigresen juga sedang melaksanakan secara pilot projek, inisiatif pengeluaran PLKS secara digital endosmen melalui e-Pass yang membolehkan majikan mencetak sendiri permit pekerja asing mereka," katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut terbuka untuk mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh (stake holders) bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pekerja asing di negara ini.