TONGGAK pertahanan Manchester United, Harry Maguire sah tidak akan diturunkan pada perlawanan ‘Manchester Derby’ menentang Manchester City pada Ahad.
Perkembangan itu diumumkan sendiri pengendali United, Erik ten Hag yang memberitahu khidmat pemain berusia 29 tahun itu terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan hamstring.
Selain itu, ten Hag turut memberi bayangan dua pemainnya yang sebelum ini mengalami kecederaan, Marcus Rashford dan Antony Martial mungkin akan diturunkan bagi memperkuatkan lagi jentera serangan.
"Dia (Martial) beraksi dengan sangat baik sepanjang tempoh latihan. Sama juga seperti Martial Rashford yang sudah kembali berlatih bersama pasukan dan ia merupakan perkembangan yang baik,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan menentang City.
Mengulas berkenaan perlawanan tersebut, ten Hag menasihatkan para pemainnya agar tidak memberi tumpuan hanya kepada penyerang berbisa City, Erling Haaland.
Jelasnya, tindakan itu mungkin akan memakan diri memandangkan pasukan kendalian Pep Guardiola mempunyai ramai pemain hebat selain Haaland.
"Kami tidak menentang Haaland, kami menentang Manchester City. Mereka mempunyai lebih daripada 11 pemain yang hebat.
"Bagaimanapun kami juga yakin dengan kemampuan yang dimiliki sekiranya semua pemain bertindak sebagai satu pasukan. Sekiranya perkara tersebut berlaku kami mampu untuk menewaskan lawan sebegitu.
"Itulah kepercayaan yang perlu kami bawa apabila berdepan perlawanan pada Ahad nanti,” jelasnya