Siapa jadi pilihan Anwar?

Iklan
Boon Chye (kiri) dan Farhash.

IPOH - Dua Ketua Cabang PKR dikatakan sedang dalam pertimbangan untuk dilantik sebagai Pengerusi PKR Perak yang baharu menggantikan Datuk Dr Muhammad Nur Manuty.

Mereka yang dimaksudkan ialah Ketua PKR Cabang Gopeng, Dr Lee Boon Chye dan Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar, Farhash Wafa Salvador.

Kedua-dua mereka dikatakan calon akhir yang telah disenaraikan untuk menerajui PKR Perak.

Difahamkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun bertemu dengan ketua-ketua cabang di Perak beberapa hari lalu bagi mendapatkan pandangan tentang pengerusi PKR Perak yang baharu.

Perkara itu diakui Ketua PKR Cabang Kampar, Baldip Singh yang memaklumkan bahawa memang ada pertemuan dengan Anwar di Ipoh.

"Ya, memang ada (pertemuan). Pertemuan itu dibuat secara tertutup menjurus kepada pemilihan Pengerusi PKR Perak yang baru.

"Kita difahamkan ada dua, tiga calon dan mungkin akan dibuat undi sulit untuk pilih siapa pengerusi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, keputusan mengenai Pengerusi PKR Perak yang baharu dijangka akan diumumkan pada Selasa ini.

Sementara itu, Ketua PKR Cabang Sungai Siput, S Kesavan berkata, perjumpaan dengan Anwar itu juga lebih menjurus ke arah sesi suai kenal bersama ketua-ketua cabang dan merupakan perjumpaan pertama Anwar dengan pimpinan di Perak selepas menjadi presiden parti.

Beliau berkata, beberapa perkara turut dibincangkan pada pertemuan itu selain meminta pandangan ketua-ketua cabang mengenai isu semasa di Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan jawatan Setiausaha PKR Perak juga turut menjadi rebutan sekaligus menggugat kedudukan Exco Kerajaan Perak, Abdul Yunus Jamhari yang sebelum ini dilantik ke jawatan tersebut.