SHAH ALAM - Pembubaran Parlimen dalam masa terdekat bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat penting bagi masa depan rakyat yang lebih baik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala ketetapan yang dibuat UMNO adalah bertujuan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dengan penilaian dan perancangan yang rapi bagi sesebuah tindakan yang vital seperti PRU15.
"Usah perlu menoleh lagi dan terus mara, kerana masa tidak akan menunggu waima seminit mahupun sesaat amat berharga untuk memastikan negara kembali ke landasan yang sebenar.
"PRU15 amat mustahak dilangsungkan sekarang untuk memastikan kerajaan yang lebih stabil, kukuh dan efisien dibentuk bagi membantu rakyat keseluruhan.
"PRU15 amat mustahak memastikan kerajaan persekutuan yang mentadbir negara tidak berdepan dengan tindakan sabotaj oleh musuh dalam selimut yang sentiasa berkepentingan politik,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Jumaat mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kesejahteraan hidup rakyat dapat dipastikan berjalan dengan lancar dan teratur sekiranya PRU15 dilaksanakan.