GTA umum pendirian selepas PM persembah tarikh bubar Parlimen

Iklan
Dr Mahathir (tengah) pada sidang akhbar selepas program Suara Tanah Air anjuran sayap muda GTA di Sepang pada Sabtu.

SEPANG - Gerakan Tanah Air (GTA) akan mengumumkan pendirian sama ada menyokong atau menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersembah cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelak.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, buat masa ini pihaknya berpendapat waktu sesuai untuk mengadakan PRU15 adalah pada tahun hadapan, selepas musim banjir bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terhadap pengundi.

Iklan
Iklan

"Kalau mereka (kerajaan) buat permohonan (tarikh pembubaran Parlimen) kepada Yang di-Pertuan Agong, pada masa itu kita akan buat keputusan sama ada membantah atau menyokong.

"Kita berpendapat bahawa sepatutnya tidak diadakan pilihan raya ketika banjir besar, angin kencang supaya semua orang yang keluar mengundi selamat dan dapat mengundi dengan baik,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Suara Tanah Air anjuran sayap muda GTA pada Sabtu.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

Susulan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Sementara itu mengulas mengenai status permohonan GTA dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, setakat ini GTA masih menunggu kelulusan daripada agensi berkenaan.

"Kita diberitahu bahawa ada lebih 30 parti lain yang sedang menunggu untuk didaftarkan (dengan RoS), sebab itu permohonan tidak boleh dipercepatkan (pendaftaran).

"Mungkin dalam bulan ini (Oktober) mereka akan daftar, tetapi kita juga diberitahu bahawa pendaftaran GTA tidak ada masalah kerana memenuhi semua peraturan dan undang-undang negara,” jelasnya.

Sebelum ini GTA dilaporkan telah mendapat kelulusan sementara daripada RoS dalam usaha gabungan tersebut turut serta dalam PRU15 nanti.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai perancangan GTA sekiranya parti itu tidak sempat didaftarkan dalam RoS menjelang PRU15, Mahathir berkata, pihaknya sudah mempunyai ‘Plan B’ sebagai pelan sandaran.

"Kita sudah ada Plan B, tetapi tidak boleh beritahu sekarang,” jawabnya ringkas.