MILO Malaysia dengan kerjasama Akademi JSA menganjurkan Liga Juara-Juara Remaja Milo bagi memenuhi aspirasi para pemain muda yang mahu beraksi di pentas kompetitif.
Saingan musim pertama menyaksikan lima pasukan muncul juara kategori masing-masing kesinambungan Piala Cabaran Milo pada Jun lalu menyaksikan 12 pasukan berentap dalam lima kategori Bawah 8 tahun (B-8), B-10, B-12, B-14, B-17.
Mengulas mengenai kerjasama Milo dan JSA, Pengurus Pemasaran Milo Malaysia, Kerwin Lim berkata, Milo percaya sukan platform terbaik mendidik generasi muda nilai dan prinsip kehidupan.
Katanya, Milo yang sinonim dengan penganjuran pertandingan sukan di peringkat bawah umur sekali lagi menyatakan komitmen merancakkan lagi pembangunan sukan di akar umbi.
"Malah, kerjasama Milo dan Akademi JSA ini telah berkongsi matlamat yang sama iaitu ingin melahirkan lebih ramai pemain muda yang berkualiti melalui penganjuran pertandingan ini,” katanya.
Kerwin Lim juga percaya kejohanan Liga Juara-Juara Remaja Milo akan memberi impak besar terhadap pembangunan bola sepak negara terutamanya peringkat akar umbi.
"Pertandingan ini juga bertujuan menyediakan pentas buat para pemain cilik beraksi secara kompetitif dan secara tidak langsung memacu pembangunan sukan dari peringkat akar umbi.
"Kami berbesar hati kerana ternyata penganjuran Piala Cabaran Milo pada Jun lalu dan Liga Juara-Juara Remaja Milo yang bakal memasuki musim kedua memberikan impak kepada para pemain.
"Milo juga sedar bahawa ibu bapa sentiasa menekankan soal akademik untuk anak-anak mereka, tetapi kami rasa ianya juga penting untuk mereka belajar dan merasai sendiri nilai-nilai di dalam bersukan yang ada untuk mereka semai dari bangku sekolah,” ujar Kerwin.
Memasuki tahun keempat sejak ditubuhkan, Pemilik Bersama Akademi Sukan JSA, Steven Lim amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Milo bagi penganjuran edisi sulung tersebut.
"Ini bagaikan mimpi buat kami kerana dapat bekerjasama dengan sebuah jenama dikenali sangat mengutamakan sukan di tanah air.
"Bila kita bercakap tentang Milo, ia sudah semestinya mengingatkan anda dengan sukan menarik yang dianjurkan mereka.
"Jalinan kerjasama dengan Milo pasti akan membawa elemen semangat produk minuman mereka ke padang dan kejohanan ini semestinya menjanjikan saingan menarik.
"Kami juga ingin memainkan peranan di dalam membantu merancakkan pembangunan bakat baharu di dalam bola sepak di seluruh negara.
Inisiatif Milo dan JSA di dalam menganjurkan kejohanan bola sepak peringkat akar umbi turut mendapat pujian dari ibu bapa.
Sementara itu, Zaiful Abu Bakar, bapa kepada tiga anak yang mewakili La Staliion FC bagi kategori B-8, B-10 dan B-12 tahun berterima kasih dan penghargaan kepada Milo
"Pentas seumpama ini sangat membantu kepada perkembangan pemain bola sepak khususnya pada peringkat umur seperti ini.
"Malah saya percaya, pertandingan ini juga membuka mata ibu bapa mengenal bakat dimiliki anak mereka sekaligus dapat memberi sokongan terhadap minat anak masing-masing,” katanya.
Untuk rekod, musim pertama Liga Juara-Juara Remaja Milo di Arena JSA menyaksikan pasukan tuan rumah JSA United muncul juara kategori B-17 selepas menewaskan Akademi Felda Red Hawks, 4-0.
Liga Juara-Juara Remaja Milo akan memasuki musim kedua pada Oktober dengan format baharu apabila dua divisyen akan diperkenalkan bagi merancakkan lagi kejohanan ini selain perancangan untuk menarik penyertaan daripada pasukan cilik wanita