PENGENDALI baharu Selangor, Tan Cheng Hoe menyifatkan kemenangan 5-0 ke atas Melaka United pada aksi Liga Super semalam sebagai satu permulaan yang baik buat dirinya dan pasukan.
Malah jurulatih berusia 54 tahun itu, mengakui dia nyata terkejut dengan persembahan yang ditampilkan pasukannya dan tidak sangka mampu untuk memenangi perlawanan itu dengan jurang gol yang besar.
Bagaimanapun beliau memberitahu, dirinya tidak mahu dibuai-buai dengan kejayaan tersebut sambil mengakui banyak perkara yang perlu diperbaiki sebelum Selangor benar-benar menjadi pasukan yang akan digeruni oleh lawan mereka.
"Rata-rata pemain muda berbakat besar, diberikan dorongan dan keyakinan untuk meneruskan ke tahap seterusnya. Kita harap mereka dapat terus konsisten dalam permainan akan datang,”katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Cheng Hoe memulakan tugasan pertamanya bersama Selangor FC dengan cemerlang apabila membelasah Melaka United, 5-0.
Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Nor Hakim Hassan pada minit ke-16, Mukhairil Ajmal (32) Brendan Gan (66 dan 78) serta jaringan penalti pemain import Herlison Caion pada minit akhir perlawanan.
Dalam pada itu, kapten Selangor, Brendan Gan berkata, dia dan pasukan sangat berterima kasih kepada penyokong-penyokong yang hadir meberikan sokongan yang dilihat menjadi kunci kepada kemenangan besar tersebut.
Justeru dia berharap ‘pemain ke-12’ akan sentiasa memberi sokongan dalam setiap perlawan yang akan dihadapi Selangor selepas ini.
"Ia sangat hebat untuk meraih kemenangan. Untuk raikan bersama penyokong, ia adalah sesuatu yang istimewa.
"Saya harap mereka akan dapat terus menyokong kami dan menjadi pemain ke-12, penyokong sangat penting bagi saya,” ujarnya.