IPOH - DAP Perak mengalu-alukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perak.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, ketokohan Anwar amat diperlukan dalam usaha memenangkan PH di negeri itu.
Menurutnya, berdasarkan rekod tiga pilihan raya umum sebelum ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti bertanding amat tipis dan seimbang.
"Jika beliau datang, saya yakin bukan sahaja beliau akan menang tetapi akan membantu kita memenangi semula kerajaan negeri Perak. Jangan lupa, negeri Perak ini sudah tiga penggal 50-50," katanya ketika berucap sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Hadir menyempurnakan konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Sementara itu, Kor Ming turut mencadangkan agar Anwar bertanding di kerusi yang pernah mengkhianati PH iaitu di Parlimen Tambun diwakili oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim kata dia nak bertanding di kawasan pengkhianat. Jangan lupa di Tambun ada pengkhianat yang cukup besar mana dia bertanding, saya tunggu saja.
"Bukan sahaja di (Parlimen) Gombak, bukan saja (Parlimen) Ampang, Tambun lagi teruk," katanya sambil disambut sorakan perwakilan yang hadir.
Sementara itu, mengulas perkara sama ketika sidang akhbar selepas konvensyen, Kor Ming berkata, DAP tidak menetapkan lokasi khusus untuk Anwar bertanding.
Katanya, pelawaan tersebut dibuat untuk memberi kelebihan kepada negeri Perak jika Anwar menjadi Perdana Menteri.