JOHOR BAHRU - Taktik pihak tidak bertanggungajwab melakukan pengikraran tidak benar dalam muatan lori bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Johor melakukan pemeriksaan, kira-kira jam 7.45 malam, 12 September lalu.
Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, menerusi pemeriksaan dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai terhadap lori jenis Hino Euro 2GD di tepi Jalan Austin Perdana 2/24 mendapati, barang diikrarkan dalam muatan lain daripada barang yang dibawa.
"Hasil pemeriksaan rapi ke atas lori lapan tan tersebut dan semak silang Borang Kastam 1 (BK1) yang dikemukakan oleh pemandu mendapati, 2,335 keping 'laminate sheet' (formica) bersamaan dengan 12,159 kilogram dipercayai tidak berkastam dan pelbagai barangan campur lain yang tidak diikrarkan dalam Borang Kastam 1 (BK1) semasa pengimportan.
"Antara dagangan lain yang tidak diikrar adalah set skru, 'polywood', 'drawer trek', 'drawer slides' dan lain-lain," katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin di sini pada Ahad.
Beliau memberitahu, nilai barangan dirampas RM69,000 dan jumlah duti manakala cukai terlibat pula RM20,800.
Menurutnya, lori bernilai RM100,000 turut disita manakala anggaran jumlah keseluruhan dagangan termasuk cukai terlibat dan kenderaan RM189,800.
"Seorang pemandu dan kelindan warga tempatan yang berusia 30-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.
"Pihak terbabit melakukan ikrar barang yang berlainan dalam borang kastam bagi mengelak dikenakan duti atau cukai yang tinggi," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.
Sabit kesalahan boleh didenda bagi kesalahan pertama 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 mengikut yang mana lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.