PONTIAN - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meluluskan cadangan berhubung 30 peratus calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah dalam kalangan wanita.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kuota berkenaan merangkumi wanita di dalam gabungan BN terdiri daripada UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Katanya, ia akan menyaksikan peningkatan calon wanita hampir sekali ganda berbanding pada PRU14 lalu iaitu sebanyak 14 peratus.
"MKT UMNO bersetuju dengan cadangan 30 peratus calon PRU15 terdiri dalam kalangan wanita. Ini bermaksud pimpinan wanita dari UMNO, MIC, MCA, PBRS termasuk dalam kalangan wanita muda dari puteri sekiranya berkelayakan mereka akan dipilih untuk penuhi kuota itu.
"Bagi saya ini merupakan keputusan yang amat penting dan usaha yang baik. Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu, sebanyak 25 peratus calon BN adalah wanita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas di Dewan Jubli Intan Pontian di sini pada Ahad.
Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, kuota terbabit menjadi petanda UMNO menghargai sumbangan dan pengorbanan wanita selain meletakkan wanita di tempat yang sewajarnya.
"Ia selaras dengan matlamat pembangunan lestari (SDG) peringkat antarabangsa yang menyarankan penyertaan dan penglibatan wanita dalam pembuat dasar ialah 30 peratus.
"Malah berdasarkan perlembagaan UMNO yang dipinda pada 2019, meletakkan taraf Ketua Wanita UMNO setaraf dengan Timbalan Presiden UMNO," katanya.