ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengaktifkan pelan persediaan banjir Kawasan Muda bagi menghadapi fenomena La Nina yang dijangka berlaku penghujung tahun ini.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, perancangan awal dan persediaan menghadapi banjir ini diharap dapat meminimumkan kerosakan padi termasuk harta benda selain mengurangkan impak kepada peladang sekiranya banjir melanda Kawasan Muda.
Menurutnya, bagi menghadapi kemungkinan banjir, MADA memberi keutamaan kepada kepentingan awam serta aktiviti penanaman padi dengan menguruskan lebihan air akibat turunan hujan berdasarkan Tatacara Pengendalian Piawaian mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"MADA akan memastikan kesempurnaan fungsi infrastruktur pengairan dan saliran serta memastikan alat kelengkapan dan aset-aset seperti bot, pam dan peralatan seperti jentera berada dalam keadaan baik," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Ahmad Tarmizi berkata, berdasarkan tinjauan cuaca bagi tempoh September 2022 hingga Februari 2023 oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 29 Ogos, kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan La Nina.
"Ramalan menunjukkan pada September hingga Februari 2023, Perlis dan Kedah akan menerima taburan hujan pada paras purata antara 200 hingga 300 milimeter (mm) di Perlis, manakala di Kedah sebanyak 290 hingga 440mm," katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat terbabit, Kawasan Muda berkemungkinan menerima turunan hujan lebat di kawasan tadahan empangan, tadahan sungai dan kawasan sawah.
"Sehubungan itu, MADA sentiasa peka dengan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap siaga jika berlakunya banjir berdasarkan ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.
Ahmad Tarmizi memaklumkan, operasi saliran air banjir dilakukan melalui infrastruktur utama sedia ada melibatkan Sistem Arau, Sistem Lanabulu, Sistem Alor Changleh, Pelubang Barrage serta Tandop Pasang Surut Ampang Jajar.
"Melalui perancangan dan persediaan ini, kita harap kerosakan padi dapat diminimumkan," katanya.
Menurutnya, setakat ini, kedudukan paras takungan air di Empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi.
Empangan Pedu berada pada kadar 859,625 juta meter padu atau 98.27 peratus; Empangan Muda mencatatkan 123,950 juta meter padu (99.16 peratus) dan Empangan Ahning sebanyak 186,979 juta meter padu (83.85 peratus).
"Saya mohon peladang di Kawasan Muda menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan sekiranya terdapat pertanyaan berhubung maklumat atau aduan, MADA sentiasa bersedia bantu peladang bagi menjayakan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda," katanya.