Pendataan digital atasi isu PATI di Sabah: Hajiji

Iklan
Hajiji (tiga dari kiri) bersama Hamzah (dua dari kiri) pada majlis penutupan Program Kita Demi Negara Zon Sabah di pekarangan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) akan diselesaikan secara tuntas melalui pendataan digital bagi mendapatkan jumlah sebenar PATI di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, pendataan akan dibuat ke atas semua pendatang asing untuk memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal dan bekerja di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, fasa berikutnya selepas selesai pendataan digital tersebut ialah fokus kepada penyeragaman dokumen bagi memastikan semua yang berada di Sabah adalah didokumenkan secara teratur.

"Sekiranya kita mendapati warga asing berkenaan adalah tergolong dalam sebagai PATI, maka kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Program Kita Demi Negara Zon Sabah yang dianjurkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di pekarangan Kompleks Sukan Likas, pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata lagi, tindakan itu telah pun dibincangkan dengan teliti dan disokong oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kerajaan negeri tidak teragak-agak dalam mempertingkatkan keselamatan kerana aspek itu amat penting terutama dengan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran.

Iklan
Katanya lagi, langkah meletakkan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan strategik di pedalaman Sabah merupakan langkah yang tepat.

"Bukan sahaja bagi mengekang kemasukan ancaman pada masa kini, tetapi juga sebagai langkah proaktif untuk mengekang ancaman luar terutamanya apabila Indonesia berhasrat untuk memindahkan ibu negara ke Kalimantan," katanya.

Menurut Hajiji, usaha KDN melaksanakan inisiatif pengeluaran dokumen imigresen dan pendaftaran di pos kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan, adalah sebagai projek rintis yang memudahkan penduduk di kawasan itu untuk mendapatkan perkhidmatan bukan saja di Jabatan Imigresen Malaysia tetapi juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Dengan adanya inisiatif seperti ini, penduduk setempat dapat memperolehi Pas Menyeberang Sempadan dengan lebih mudah," katanya.