PRU15: Pembangkang sudah lama bersedia

Iklan
Mahfuz (tiga dari kiri) mendengar taklimat berkaitan perubahan monsun peralihan dan ramalan cuaca yang dijangka berlaku di Jabatan Meteorologi Kedah pada Ahad.

ALOR SETAR - Pembangkang sudah lama bersedia untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejak berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan berlaku peralihan kuasa pemerintah.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pembangkang telah lama menuntut agar mandat dikembalikan kepada rakyat sejurus berlakunya Langkah Sheraton berbanding gesaan UMNO menggunakan alasan sama, namun untuk kepentingan parti tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gesaan UMNO mahu PRU15 segera diadakan dalam tahun ini hanyalah untuk menyelamatkan segelintir pemimpin parti itu yang terpalit dengan kes mahkamah atau dikenali kluster mahkamah, bukannya disebabkan mandat rakyat.

"Kami Pakatan Harapan (PH) sudah lama bersedia untuk hadapi PRU15 sejak berlakunya Langkah Sheraton untuk memastikan supaya tidak berlaku rampasan kuasa dengan menyerahkan mandat kembali kepada rakyat untuk buat keputusan.

Iklan

"UMNO pula baru hari ini (Ahad) menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan nyatakan, mereka sebenarnya sudah lama nak serahkan balik mandat itu kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Meteorologi Kedah di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu sekaligus menafikan dakwaan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan pembangkang tidak bersedia dan takut berdepan PRU15 dalam tempoh terdekat apabila sering memainkan naratif banjir dan musim hujan untuk menyerang UMNO yang mahu PRU15 diadakan segera.

Iklan

"Sepatutnya UMNO dapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi tentang kedudukan taburan hujan dan sebagainya untuk memudahkan rakyat keluar mengundi, bukan sebaliknya," katanya.

Mengulas sama ada UMNO sengaja memilih musim banjir untuk mengadakan PRU15 bagi menurunkan peratus keluar mengundi agar parti itu beroleh kemenangan, Mahfuz tidak menolak kemungkinan kerana UMNO kini sebahagian daripada kerajaan.

"Ya kalau buat PRU masa banjir atau musim hujan, peratus keluar mengundi akan terjejas. Ada kemungkinan itu antara faktor diingini UMNO.

"Sebab mereka mempunyai jentera kerajaan bagi mengangkut pengundi dan memastikan pengundi tegar mereka keluar mengundi, tetapi saya tidak fikir itu faktor utama mereka mahu adakan PRU sekarang.

"Faktor sebenar mereka mahu buat PRU15 sekarang kerana nak menyelesaikan 'masalah' mereka," katanya.

Mahfuz berkata, masalah berkaitan parti itu yang berdepan dengan beberapa kes mahkamah melibatkan kepimpinannya yang masih belum selesai didakwa menjadi penyebab utama UMNO mahu menyegerakan PRU15.

"Saya percaya sebahagian besar pemimpin UMNO tak setuju tetapi mereka terpaksa ikut arahan Presiden parti.

"Macam dalam kabinet ramai yang tak nak PRU15 segera. Yang terpalit dengan kes mahkamah saja yang nak buat PRU segera," katanya.