Pembahagian kerusi PH selesai

Iklan
Rafizi Ramli

GEORGETOWN - Pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah selesai dan akan dibawa ke Majlis Presiden pada Rabu ini.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, sehingga kini semua negeri sudah selesai kecuali Kedah dan Sabah, namun dijangka dapat diselesaikan menjelang Rabu ini.

Iklan
Iklan

"Pembahagian kerusi sudah selesai dan keputusan rundingan akan dibawa ke Majlis Presiden pada Rabu ini. Setakat ini, semua negeri sudah selesai, yang masih berunding adalah Kedah dan Sabah, itu pun dua tiga kerusi sahaja.

"Kita yakin dapat selesaikan menjelang Rabu ini, maka saya boleh katakan rundingan untuk kerusi Parlimen telah selesai," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi townhall di Auditorium A Komtar di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut Rafizi, setiap parti dalam gabungan akan mendapat pertambahan kerusi pada pilihan raya ini apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi bersama PH.

"Sarawak tidak jadi isu sangat sebab Bersatu tidak bertanding ketika itu dan tidak ada banyak beza dari segi agihan kerusi seperti PRU lepas. Hanya Sabah perlu berunding dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kerana UPKO sebelum ini bukan PH, sebab itu makan masa sikit," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR mengesahkan mahu bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada PRU15 nanti.

Beliau sebelum ini telah memenangi kerusi tersebut dalam PRU13 iaitu pada tahun 2013.

Kerusi itu kini disandang Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Rafizi, perkara itu sudah disuarakan kepada pucuk pimpinan parti, namun senarai calon untuk PRU15 belum dimuktamadkan.

"Besar kemungkinan saya akan bertanding di (Parlimen) Pandan. Mengenai penyandang kerusi di situ, perbincangan kita ialah oleh kerana Pandan ini antara kerusi PKR yang paling baik, kemudian saya perlu tarik diri daripada bertanding kerana masa itu ada kes.

"Jadi sebab itu kita bersetuju presiden parti ambil alih, kalau tidak, kerusi itu jadi rebutan. Perbincangan dalaman sama ada Wan Azizah main peranan dan bentuk peranan yang akan dimainkan, semua itu kita kena bincang secara dalaman dengan tuan punya diri dahulu.

"Cuma kita ada kelebihan kerana Wan Azizah sangat 'versatile' dan dia sudah pun buktikan. Itu adalah senjata rahsia kita. Cuma untuk saya contohnya, oleh kerana berkempen di seluruh Malaysia, jadi memang lebih logik saya bertanding di Pandan kerana itu 'based' saya dan itu bagi saya ruang berkempen di banyak kerusi di seluruh Malaysia," katanya.

Kata beliau, semua perbincangan mengenai strategi pilihan raya PKR akan dikekalkan di belakang tabir.

"Dengan cara saya berkempen dan gerakan saya, maksudnya sebahagian besar daripada perancangan dan keputusan itu, sedang berjalan lancar dan diterima baik oleh parti," katanya.

Rafizi pernah menjadi Ahli Parlimen Pandan sepenggal bermula 2013 hingga 2018 selepas menewaskan calon MCA, Lim Chin Yee dengan majoriti 26,729 undi.