SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar individu yang disifatkan beliau sebagai 'sudah tidak lagi relevan dalam politik' untuk bertanding di Parlimen Gombak.
Malah Azmin yang merupakan Ahli Parlimen Gombak turut mencabar individu terbabit untuk 'menghantar' isteri atau anaknya bertanding di kerusi disandang beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15.
"Yang tuan-tuan seronok, tahu ke siapa dia? Saya tak sebut nama (individu dimaksudkan) tapi kalau saya tengok, saya lihat nak jawab pun dia sudah tidak relevan lagi," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Bahagian Bahagian dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Selangor di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Pada Sabtu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dan mungkin bertanding kerusi Parlimen disandang 'pengkhianat' PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu tidak menamakan kawasan kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, namun kerusi itu mestilah memberi kelebihan tambahan kepada PKR dan PH.
"Secara jujur saya belum ada pilihan lagi (Parlimen) untuk ditandingi tapi dalam pertimbangan adalah kerusi pengkhianat (PKR dan PH)... misalnya jika parti kata bertanding di Gombak (Parlimen) saya bertanding di situ.
"Kita (PH) boleh masuk kubu kuat UMNO, tetapi saya harus memilih kerusi disandang pengkhianat. Mesejnya adalah pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima)," katanya pada sesi soal jawab pada program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS) pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan itu sebagai melampau dan bersungguh-sungguh mahu mencipta naratif bahawa penyandang kerusi Parlimen Gombak adalah pengkhianat.
"Maka kerusi-kerusi pengkhianat akan ditentang habis habisan, saya nak tanya siapa pengkhianat yang sebenarnya, apakah rakyat sudah lupa, peristiwa Langkah Kajang," soal Mohamed Azmin.