Fokus bantu rakyat, beri pancing dan umpan

Iklan
Kadar inflasi meningkat memberi kesan terhadap rakyat. - Gambar hiasan.

BANYAK peringatan sudah dikeluarkan mengenai cabaran ekonomi pada tahun hadapan dan paling menarik perhatian adalah apabila Bank Dunia memberi amaran kemungkinan dunia terjerumus ke dalam kemelesetan pada 2023.

Ia berikutan bank-bank pusat di banyak negara secara serentak menaikkan kadar faedah pada tahun ini bertujuan bertindak balas terhadap inflasi. Trend yang tidak pernah disaksikan sejak lima dekad lalu itu dijangka berterusan tahun hadapan.

Iklan
Iklan

Belum pun menghampiri hujung tahun 2022, Malaysia kini sudah terasa bahangnya apabila nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) mengukuh yang menyebabkan ringgit berada sekitar RM4.60 setiap AS$1.

Kadar inflasi Malaysia pada bulan Ogos pula meningkat kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai.

Iklan

Ia berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Mengambil kira dua faktor penting ini yang boleh menyebabkan kesan rantaian lain kepada kemampuan kewangan rakyat, maka sudah pasti rakyat mahu melihat keupayaan kerajaan dalam merangka Bajet 2023.

Iklan

Bagaimana kerajaan mahu mengimbangi keperluan rakyat dan pada masa sama perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara yang terkesan dengan keadaan ekonomi global.

Bagi rakyat bawahan, sudah pasti ramai yang mengharapkan belanjawan kali ini akan memberi bantuan kepada mereka dalam bentuk tunai demi meringankan beban kos sara hidup.

Pada pandangan mereka, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan impak yang disebabkan kenaikan harga barang.

Tetapi dalam situasi untuk memenuhi permintaan bantuan tunai, bantuan dalam bentuk impak jangka masa panjang juga perlu terus diberikan keutamaan.

Contohnya bantuan berbentuk peningkatan kemahiran diri rakyat Malaysia untuk pelbagai kategori umur di pusat-pusat latihan dalam negara secara percuma.

Dengan menyediakan skim latihan seumpama itu, ia bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang lebih bijak, tetapi golongan rakyat yang berdaya tahan dan dapat menyerap impak ekonomi pada bila-bila masa.

Seperti pepatah yang popular, fokus untuk berikan pancing dan umpan, bukannya ikan.