Apa bakal berlaku di Istana Negara, Parlimen?

Iklan
Perdana Menteri dilapor akan ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen.

NAMPAKNYA episod penantian pengamal media di pintu Istana Negara bakal kembali susulan bahang pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hangat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor akan hadir ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon pembubaran Parlimen.

Iklan
Iklan

Perkara itu didedahkan oleh blogger dan aktivis, Datuk Zaharin Mohd Yasin menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

"Khabar cerita esok pagi (Isnin) Datuk Seri Ismail Sabri diiringi oleh Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Istana Negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan mengenai perkara berkenaan apatah lagi, menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Perdana Menteri pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan mandat oleh jemaah menteri bukan mandat Presiden UMNO.

Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu jemaah menteri boleh menasihatkan Perdana Menteri untuk tujuan tersebut.

Iklan

"Perlembagaan dengan jelas menyatakan yang menasihat Yang di-Pertuan Agong adalah jemaah menteri. Perdana Menteri pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan mandat oleh jemaah menteri bukan mandat Presiden UMNO,” katanya seperti yang dilapor pada Ahad.

Rakyat mengharapkan pemimpin yang menduduki kerusi Parlimen amanah dalam melaksanakan tanggungjawab termasuk menolak rasuah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilapor berkata, UMNO tidak mempunyai kuasa untuk mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15.

Beliau berkata, Ismail Sabri mempunyai majoriti sokongan dan kemampuan untuk membuat keputusan akhir.

"UMNO ada 38 ahli Parlimen. Dalam sistem, 38 ahli Parlimen tidak boleh paksa (buat keputusan). Keputusan harus dibuat Perdana Menteri, sekiranya Perdana Menteri mempunyai kekuatan dan boleh bertindak dengan waras sebagai Perdana Menteri," katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan bahawa UMNO bukan parti politik 'cap ayam' kerana setiap tindakan dibuat parti itu termasuk keputusan untuk melaksanakan PRU15 adalah sentiasa berpandukan peraturan dan Perlembagaan Negara.

Sementara itu, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 32 hari bermula hari ini hingga 29 November depan juga bakal menjadi tumpuan menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.

Mesyuarat kabinet pada 26 Ogos lalu menetapkan pembentangan bajet yang pada asalnya ditetapkan 28 Oktober, diadakan tiga minggu lebih awal.

Mengikut takwim asal di laman web Parlimen, mesyuarat ketiga penggal kelima dijadualkan bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 yang mana Dewan Rakyat akan bersidang selama 31 hari untuk membahaskan Bajet 2023.

Berikutan perubahan tarikh mesyuarat itu, timbul spekulasi bahawa PRU15 akan diadakan lebih awal iaitu kemungkinan pada November selepas pembentangan Bajet 2023 diluluskan.

Justeru, tumpuan terhadap pengumuman tarikh pembubaran Parlimen dan sidang Parlimen dijangka berterusan sepanjang minggu ini.