SHAH ALAM - Lebih 10,000 pusat pemindahan sementara (PPS) bakal diwartakan jika sekolah berasrama penuh turut dijadikan fasiliti bagi persiapan menghadapi bencana banjir hujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sehingga kini kementeriannya telah mengenal pasti sebanyak 6,010 PPS untuk menempatkan mangsa banjir di seluruh negara.
Beliau berkata, jumlah tersebut meliputi sekolah, balai raya, dewan dan pada masa sama fasiliti berkenaan juga akan dijadikan sebagai pusat pembuangan undi dan pusat daerah mengundi.
"Sebab itu dalam keadaan sekarang kita perlu rasional. Jika diadakan pilihan raya sekarang, bermakna ia di waktu kita ramalkan banjir akan berlaku. Kita nak jadikan PPS atau nak dijadikan tempat membuang undi?
"Semangat kita berkobar untuk pilihan raya tapi dalam masa sama masalah rakyat juga perlu diutamakan,” katanya pada Majlis Persidangan Bahagian dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor di sini pada Ahad.
Perasmian disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Ketua Penerangan Bersatu dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.