LANGKAWI - Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai di Lubuk Semilang, Langkawi, dekat sini pada Isnin.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, setakat ini, mangsa berusia 15 tahun belum ditemui.
Zamani memaklumkan, operasi pencarian mangsa yang merupakan pelajar sebuah madrasah di Banting, Selangor, masih dijalankan di lokasi kejadian.
"Menurut saksi, mangsa bersama tujuh rakan sedang bermain air di kawasan tersebut sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.
"Beberapa orang rakan cuba menyelamatkan mangsa namun gagal dan saksi terus menghubungi pasukan penyelamat bagi memaklumkan perihal kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Kedah menerima satu panggilan kes mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang, Langkawi Kedah melalui talian MERS 999 pada jam 9.55 pagi.
Zamani berkata, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi diketuai Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi digerakkan ke lokasi kejadian.
"Komander operasi mengarahkan anggota membuat 'size-up' di lokasi kejadian dan seterusnya memulakan operasi pencarian dengan kaedah 'surface searching' di lokasi kejadian," katanya.