Skuad B-16 beraksi di stadium kosong di Bogor

Iklan
PSSI mengumumkan kesemua aksi Kumpulan B di Stadium Pakansari di Cibinong akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton. - Foto Instagram @stadionpakansari

SKUAD Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan akan menamatkan baki tiga perlawanan Kumpulan B saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Bogor, Indonesia di stadium kosong, susulan insiden rusuhan yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, Malang, baru-baru ini.

Ia selepas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan kesemua aksi Kumpulan B terdiri daripada pasukan tuan rumah, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin dan Guam di Stadium Pakansari di Cibinong akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

Iklan
Iklan

Keputusan itu dibuat sebagai menghormati pihak terkesan dengan tragedi berdarah yang mengorbankan lebih 150 orang dalam rusuhan selepas pertembungan 'derby Jawa Timur' antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Sabtu lepas.

"Dengan ini, Kualifikasi Piala Asia U17 2023 resmi dilaksanakan tanpa penonton. Sistem refund (bayaran balik) akan dibuat bagi yang sudah (kepada mereka yang telah) membeli tiket,” menurut hantaran Facebook rasmi PSSI pada Isnin.

Iklan

Skuad B-16 kebangsaan kendalian Osmera Omaro bermula cemerlang di Bogor selepas membenam Palestin 4-0 pada aksi pembukaan Sabtu lepas dan dijadual bertemu Guam (5 Okt) diikuti UAE (7 Okt) dan Indonesia pada 9 Okt.

Hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik layak ke Piala Asia B-17 2023. - Bernama

Iklan