KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti akan ditetapkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun belum ada tarikh penguatkuasaanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana undang-undang itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti mana dipaparkan di laman sesawang rasmi Istana Negara.
"Ia akan berlaku (kuat kuasa) sebelum (PRU15). Perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi di hadapan anda (pemberita) dalam tempoh terdekat.
"Saya akan memberi penjelasan lanjut ketika itu,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 pada Jumaat ini.
Menurutnya, ia berdasarkan pemahamannya semasa mesyuarat pramajlis bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 malam tadi.
"Apa-apa perubahan selepas jam 10.30 malam tadi saya tidak tahu.
"Kita ada mesyuarat pramajlis malam tadi, jam 10.30 saya balik dan saya orang terakhir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Saya tahu bajet akan dibentang pada 7 Oktober,” katanya.
Tambah Wan Junaidi, di bawah peraturan Dewan Rakyat dan Parlimen, mana-mana RUU yang telah dibentang pada kali pertama tidak akan terbatal walau apapun berlaku dan ia boleh disambung selepas itu.
"Tetapi, tidak ada halangan dan masalah kerajaan atau mana-mana pentadbiran yang baru datang boleh meminda, mengubah atau membatalkannya.
"Jadi dari sudut undang-undang tidak terbatal, tetapi boleh dibatal seperti yang berlaku pada 2018,” jelasnya.