Penggambaran filem Pahlawan Semantan bermula tahun depan

Iklan
Baharin memberitahu filem Pahlawan Semantan bakal memulakan penggambaran tahun depan.

TEMERLOH - Selepas kejayaan filem Mat Kilau di pawagam, kini penonton berpeluang menyaksikan kehebatan pejuang Melayu dari Pahang menerusi filem Pahlawan Semantan yang bakal memulakan penggambaran tahun depan.

Filem itu akan menampilkan figura Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh atau lebih dikenali Datuk Bahaman antara salah seorang pejuang Melayu ketika zaman pemerintahan Inggeris di Pahang sebagai watak utama filem tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau banyak melakukan gerakan menentang British selepas tidak berpuas hati dengan campur tangan penjajah yang membolot hasil cukai negeri sehingga menyusahkan rakyat.

Penggambaran inisiatif Studio Semantan dengan kerjasama Asia Tropical Film itu dijangka melibatkan modal kira-kira RM10 juta sebagai perancangan awal.

Iklan

Pengasas Studio Semantan, Baharin Ibrahim memberitahu, filem itu akan memberi tumpuan terhadap beberapa siri peperangan bersama penjajah Inggeris di Semantan.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sedang giat menjejaki waris pahlawan tersebut untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

Iklan

"Bagi barisan pelakon dan pengarah, sudah ada beberapa nama yang akan diketengahkan namun keputusan muktamad masih belum dibuat selain memberikan peluang kepada anak tempatan.

"Kita akan menggunakan unsur silat Pahang dalam filem tersebut selain menggunakan dialek Pahang dalam beberapa babak selain menggunakan lokasi di beberapa tempat di Semantan," jelas Baharin yang bertindak sebagai penasihat filem berkenaan.

Beliau juga bekas jurulatih silat olahraga negara dan mantan Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) itu optimis filem tersebut akan memberikan kelainan buat penonton.

"Kita berharap segala perancangan akan berjalan lancar dengan beberapa persediaan telah dibuat sekali gus dapat melakukan penggambaran secepat mungkin," katanya yang turut memiliki susur galur keluarga Datuk Bahaman.