Isteri rider maut dirempuh SUV terima pencen penakat

Iklan
Mohammed Azman Aziz (kanan) menyerahkan faedah Perkeso kepada isteri penghantar makanan yang maut dirempuh (SUV) 3 September lalu, Nur Izwana (dua dari kiri) dalam satu majlis ringkas di kediaman keluarganya di Rantau Panjang pada Isnin. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

KLANG - Jika sayang keluarga, isteri, anak-anak dan ibu bapa, jangan anggap caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai satu beban," kata Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan penghantar makanan, Muhaimin Said, 34 yang maut manakala serta seorang lagi penghantar, Muhammad Nazrul Mohd Nadzri, 29 yang cedera parah dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Haji Sirat, Meru, 3 September lalu perlu dijadikan iktibar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Allahyarham Muhaimin sempat mendaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta 789 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) melayakkan balu, Nur Izwana Othman, 26 layak menerima bantuan pencen penakat.

"Dengan kesedaran yang ada pada arwah untuk mencarum RM46.60 membolehkannya mendapat faedah bagi Akta 789.

Iklan

"Manakala bagi seorang lagi mangsa, Muhammad Nazrul yang cedera parah di kedua belah kakinya didapati tidak mendaftar dan mencarum menyebabkannya tidak layak dibayar sebarang pampasan," katanya pada sesi Penyerahan Faedah Perkeso kepada waris Allahyarham Muhaimin di Jalan Haji Musran Rantau Panjang, di sini pada Isnin.

Turut hadir Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Izad Raya serta Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Ismail Abi Hashim.

Iklan

Pada program itu, Mohammed Azman menyantuni Nur Izwana serta ibu arwah, Zailan Soid, 73 serta menyampaikan baucar bayaran faedah yang layak diterima.

Balu arwah layak menerima pencen penakat berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

Mohammed Azman Aziz (kanan) menyerahkan faedah Perkeso kepada isteri penghantar makanan yang maut dirempuh (SUV) 3 September lalu, Nur Izwana (dua dari kiri) dalam satu majlis ringkas di kediaman keluarganya di Rantau Panjang pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Selain itu, balu arwah juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837 sebulan yang akan dibayar seumur hidup serta faedah pengurusan mayat RM2,000.

Mohammed Azman berkata, sebanyak 175,000 pemandu penghantar p-hailing telah berdaftar dengan Perkeso setakat ini.

Justeru beliau menyeru mereka yang bekerja sendiri untuk tampil mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS bagi perlindungan diri dan kebajikan keluarga.

"Bagi penghantar makanan dan barangan yang masih belum daftar perlu tampil buat caruman. Hari ini mungkin kita selamat tapi esok belum tentu.

"Malang tidak berbau, jadi jangan kita ambil sikap sambil lewa tanggungjawab kita untuk mendaftar dan mencarum," katanya.