ALOR SETAR - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah mahu siasatan dilakukan terhadap dua pemilik akaun di media sosial yang didakwa memfitnah pemimpin parti itu.
Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, tindakan mengaitkan pimpinan Amanah Kedah dengan aktiviti tidak beradab yang ditunjukkan oleh pengunjung yang terkinja-kinja dalam sebuah konsert berdekatan Masjid Zahir adalah keterlaluan.
Menurutnya, perbuatan tersebut merupakan suatu hasutan untuk menimbulkan kebencian terhadap pemimpin Amanah selain berhasrat menjejaskan reputasi wakil rakyat berkenaan.
"Kehadiran saya bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dimanipulasi dan diprovokasi sehingga menimbulkan persepsi negatif.
"Apa yang berlaku adalah pada petang Sabtu, kami singgah di Pasar Kopi Sehari di pekarangan Balai Seni selepas selesai program Pakatan Harapan (PH) di Pokok Sena. Kunjungan santai untuk minum kopi sambil beramah mesra dengan pengunjung," katanya selepas membuat laporan polis bersama Dr Ismail di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar pada Isnin.
Asmirul berkata, pihaknya mahu polis melakukan siasatan terhadap tohmahan yang dilemparkan kepada tiga pemimpin Amanah yang dimuat naik di laman sosial TikTok dan Facebook pemilik akaun terbabit.
"Pasukan media kami merakam video dan aktiviti kami seperti biasa. Sekadar minum kopi dan makan di bawah pokok secara santai.
"Namun kesal apabila ada pihak cuba manipulasi situasi dengan tularkan video tersebut bagi memberi gambaran negatif," katanya lagi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu, video tular menggambarkan seolah pemimpin Amanah menyokong program muda-mudi yang dikaitkan netizen dengan isu kontroversi konsert hiruk-pikuk dan terkinja-kinja pada malam hari.
"Pemilik akaun berkenaan cuba menimbulkan kebencian kalangan rakyat, ini merupakan satu kesalahan bawah perundangan negara.
"Kami juga sedang meneliti perkara ini bersama peguam Amanah untuk melihat dari aspek perundangan," ujarnya.
Asmirul berkata, insiden berkenaan juga menyebabkan kerajaan negeri dikritik netizen dan ramai pihak.
Pada Sabtu, beberapa video tular yang menyaksikan golongan muda terkinja kinja menyaksikan konsert berhadapan Masjid Zahir yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial.Dalam video terbabit, pengunjung dilihat bercampur lelaki dan wanita meraikan persembahan hiburan di pentas sehingga mendapat sorakan ramai.