KUANTAN - Pemandu dan kelindan sebuah trak tunda maut selepas kenderaan dinaiki merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 222.5, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Kuantan, di sini, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu, pemandu trak tunda, Muhammad Asrul Yatim, 22 dan kelindannya, Lum Wai Kit, 22, kedua-duanya dari Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kemalangan itu, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang ditunda, Mohd Zailani Md Dak, 42, patah kedua-dua belah tulang paha.
Menurutnya, pemandu lori yang dirempuh, Bohari Sareuan,48, tidak cedera manakala kelindannya, Mohd Hasni Jamal, 54, cedera ringan.
"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika trak tunda itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuantan dengan menunda sebuah MPV yang rosak.
"Ketika sampai di lokasi, pemandunya gagal mengelak lalu merempuh belakang lori membawa muatan benih nenas yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak,” katanya.
Kamarulzaman berkata, akibat rempuhan itu, pemandu dan kelindan trak tunda itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kemalangan meragut dua nyawa ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas ke lokasi selepas menerima maklumat bagi operasi menyelamat mangsa terlibat.
Menurutnya, pemandu dan kelindan trak tunda itu tersepit dalam kenderaan mereka yang remuk.
"Kedua-dua mangsa yang disahkan meninggal dunia berjaya dikeluarkan sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.