Ramai calon UPKK gagal kuasai tulisan jawi

Iklan
Zulkifli melihat murid-murid menjawab peperiksaan percubaan UPKK.

SEREMBAN - Ramai calon Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun ini didapati masih gagal menguasai tulisan jawi dengan baik.

Berkongsi perkara itu, Penasihat Persatuan Sahabat Kafa Negeri Sembilan, Zulkifli Muhamed berkata, ia disebabkan murid-murid tidak dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran secara sempurna sebelum ini susulan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Ramai guru Kafa yang berkongsi masalah ini dengan persatuan dan ia menimbulkan kebimbangan kerana ramai yang tidak dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis jawi dengan baik.

"Kesannya nanti murid-murid tidak sempat menjawab peperiksaan UPKK dalam tempoh diberi atau ada yang tidak boleh menjawab langsung," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, keadaan itu akan menyebabkan pencapaian keputusan UPKK tahun ini terjejas teruk.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diharap dapat mempertimbangkan cadangan supaya calon UPKK tahun ini dibenarkan menjawab dalam dwitulisan iaitu jawi dan rumi.

Iklan

"Kita juga mengharapkan Pegawas Peperiksaan diberi kebenaran membacakan semua arahan dalam kertas peperiksaan kepada semua calon sebelum memulakan peperiksaan," katanya.

Zulkifli yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Rakyat Bestari Taman Rasa Sayang berkata, pencapaian sijil UPKK merupakan dokumen bernilai kepada calon-calon terutama bagi yang berhasrat belajar Tingkatan Satu di sekolah agama.

Untuk rekod, UPKK sesi 2022 akan bermula pada 14 November ini.