SHAH ALAM - Tiada banjir besar dijangka berlaku membabitkan mana-mana negeri di Malaysia dari sekarang sehingga awal November kerana negara belum memasuki Monsun Timur Laut.
Memetik laporan Astro Awani, perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Lim Ze Hu pada Isnin.
Beliau bagaimanapun berkata, dalam tempoh peralihan monsun yang bermula pada bulan ini dan berterusan hingga November depan, beberapa kawasan masih terdedah kepada hujan serta ribut petir pada sebelah petang.
Ujarnya, ketika hujan lebat dan ribut petir pada masa singkat, sesetengah tempat turut berisiko mengalami banjir kilat bergantung kepada sistem perparitan dan sungai di kawasan berkenaan.
"Namun, dalam tempoh peralihan monsun, kita masih lagi terdedah kepada hujan dan ribut petir pada sebelah petang.
"Jadi risiko ribut petir seperti yang kita sedia maklum juga membahayakan. Namun, jika banjir besar yang dikaitkan dengan Monsun Timur Laut, kita tidak menjangkakan apa-apa lagi akan berlaku dalam tempoh masa tersebut iaitu antara Oktober dan awal November," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan segelintir pihak bahawa tempoh yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah antara Oktober dan November kerana taburan hujan ketika dua bulan itu tidak melebihi purata.
Tambahnya, Monsun Timur Laut diramalkan berlaku pada November ini hingga Mac tahun depan.
Namun katanya, sukar untuk menentukan secara spesifik mengenai kemungkinan bencana banjir walaupun MetMalaysia meramalkan kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima kadar hujan purata dalam tempoh enam bulan ini.
Ini kerana kata beliau, banjir boleh berlaku berdasarkan beberapa faktor termasuk keadaan geografi sesuatu kawasan.
"Contohnya sesuatu tempat walaupun hujan melebih paras purata tetapi memandangkan persekitaran sesuatu tempat atau perparitan sesuatu tempat, dan tetap juga kepada geografi.
"Jadi mungkin ada tempat-tempat yang agak lebih mudah banjir. Jadi walaupun paras hujan pada paras purata, ia mungkin boleh menyebabkan banjir.
"Begitulah sebaliknya, sesuatu tempat yang keadaan geografinya boleh menampung air dengan lebih banyak, mungkin tempat-tempat seperti ini, walaupun ia di atas paras purata, ia tak mengalami banjir,” katanya.