TANJONG KARANG - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan berhenti mengelirukan rakyat dengan menabur janji pemansuhan bayaran tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi golongan B40.
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, rakyat sudah bijak membuat penilaian selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memerintah negara selama 22 bulan sebelum ini.
"Terbukti kerajaan di bawah PH tidak mampu menunaikan janji untuk memansuhkan bayaran tol dan PTPTN," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang pada Isnin.
Seramai 223 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Parlimen Tanjong Karang turut menerima sumbangan wang tunai bagi peringkat ijazah dan diploma.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberitahu, agenda kerajaan ketika ini jelas bagi membantu meringankan beban rakyat.
"Sebagai contoh, PTPTN memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk menyediakan geran khas kepada B40 dan bayaran percuma kepada mahasiswa yang memperoleh keputusan pengajian kelas pertama.
"Ia menunjukkan bahawa kita melaksanakan janji praktikal dan akan sentiasa menyalurkan bantuan atau subsidi kepada rakyat," katanya.
Pada Ahad media melaporkan, Anwar mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia lebih baik termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik PTPTN khusus untuk golongan B40.
Semua cadangan dasar Anwar itu dimasukkan dalam 'SCRIPT-For a Better Malaysia', buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat untuk mentransformasikan Malaysia.
Menerusi buku hasil kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pusat Dasar Postnormal dan Kajian Masa Depan itu antaranya mencadangkan bayaran tol kepada B40 dimansuhkan dengan menyediakan 'Pas Tol' dan pemansuhan bayaran balik PTPTN kepada golongan itu.