MERSING - Seorang nelayan warga asing terapung lebih 15 jam di laut selepas terjatuh dari bot nelayan tempatan di perairan Pulau Sibu dekat sini pada malam Ahad.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander (Maritim) Khairul Nizam Misran berkata, pihaknya menerima laporan dari anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memaklumkan kejadian tersebut pada jam 8 malam.
"IPD berkenaan menerima aduan daripada pemilik bot nelayan warga tempatan, Kuek Ho Hwa, 66, memaklumkan seorang pekerjanya dikenali sebagai Catur, 40 tahun, terjatuh dalam laut.
"Kali terakhir mangsa dilihat atas bot nelayan tempatan itu hanya memakai seluar hijau sebelum jatuh laut pada kedudukan 5.3 batu nautika Pulau Sibu Hujung di sini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Susulan itu katanya, maklumat disalurkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan sekitar jam 11.50 malam.
Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan sebuah aset bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing, bot RH 32 dari Pasukan Polis Marin (PPM), bot PTL 21 dan PL 87 milik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Katanya, operasi tersebut melibatkan 30 anggota kesemuanya dengan keluasan sektor pencarian di laut adalah 86 batu nautika persegi meliputi kawasan tenggara perairan Pulau Sibu.
"Mangsa ditemui bot Perikanan PL 87 dalam keadaan selamat dan sedang berpaut pada tong minyak plastik berwarna biru pada kedudukan lebih kurang 10 batu nautika selatan Pulau Sibu pada jam 10.30 pagi tadi," katanya.
Menurut beliau, mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedeli, Kota Tinggi untuk rawatan dan tindakan lanjut.
"Mangsa dipercayai jatuh dan hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan jatuh pada jam 8 malam tadi," katanya.