SHAH ALAM - Kerajaan stabil dan dasar yang jelas selaras dengan rancangan pembangunan negara adalah penting untuk komuniti perniagaan.
Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Low Kian Chuan berkata, negara yang stabil daripada segi politik akan membantu memulihkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.
Katanya, selain isu semasa, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada perkara seperti mewujudkan masyarakat inklusif dan berbilang budaya, mempercepatkan rancangan pembaharuan, lebih fleksibiliti dan membentuk persekitaran mesra perniagaan.
"Kerajaan perlu meningkatkan kualiti hidup rakyat di semua peringkat iaitu pekerjaan, pendidikan, optimum penjagaan kesihatan, dasar sosial dan lain-lain dalam era pasca Covid-19 ini di mana berlaku harga barangan meningkat, kekurangan buruh dan ketidaktentuan politik di dunia.
"Isu-isu ini melibatkan orang ramai. Mereka bimbang bagaimana kerajaan akan melaksanakan strategi untuk membantu rakyat di semua peringkat terutama golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada Sin Chew Daily.Tambah Kian Chuan, masyarakat Cina memerlukan kerajaan yang akan melaksanakan dasar adil selaras dengan permintaan kumpulan berbilang etnik untuk membentuk sebuah negara selamat, stabil dan makmur untuk semua.
Ujarnya, selepas pandemik Covid-19, orang ramai sedar betapa pentingnya sistem penjagaan kesihatan dan disebabkan itu kerajaan perlu merangka pelan komprehensif untuk meningkatkan keupayaan dalam menangani wabak pada masa hadapan serta memenuhi jangkaan orang ramai.
"Covid-19 juga telah menjejaskan kewangan orang ramai di negara ini. Konflik Rusia-Ukraine yang membawa kepada pecahan rantaian bekalan di dunia adalah satu lagi isu yang perlu dilihat oleh kerajaan,” jelasnya.
Kian Chuan berkata, selain daripada merangka bantuan kewangan untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik, rancangan jangka panjang juga harus dirangka bagi mengimbangi defisit dalam perdagangan makanan.
"Industri pertanian akan disokong dengan lebih banyak dasar. Ini akan membantu meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menangani kekurangan bekalan makanan yang berlaku di seluruh dunia,” ujarnya.
Menyentuh mengenai kesan senario politik terhadap persekitaran peniagaan, Kian Chuan berpandangan mengekalkan kestabilan politik adalah kunci untuk mencapai pembangunan mampan.
Tegasnya, walaupun kerajaan sedang menghadapi tugas mendesak untuk memulihkan keyakinan, sebarang bentuk ketidaktentuan politik akan menjejaskan keyakinan pelabur dan menghalang pemulihan ekonomi.
"Pelabur dan komuniti perniagaan berharap kerajaan dapat mengekalkan kejelasan, konsisten dan kesinambungan.
"Walaupun kerajaan mungkin menyemak semula beberapa dasar yang sedang berjalan, ia tidak seharusnya disemak secara sembarangan kerana pelabur mendapati perubahan mendadak itu sukar untuk disesuaikan,” jelasnya.