Usaha bantu mangsa sindiket tipu kerja tumpuan Parlimen hari ini

Iklan

KUALA LUMPUR - Tindakan-tindakan yang diperlukan bagi membantu rakyat Malaysia yang ditipu dan diculik sindiket penipuan pekerjaan terutamanya di rantau Asia Tenggara bakal menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan itu selain tindakan pencegahan yang diambil kementerian berkenaan dan Kedutaan-Kedutaan Malaysia bagi membanteras kegiatan penipuan pekerjaan berkenaan diajukan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Luar pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Iklan
Iklan

Turut tersenarai, soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta Menteri Kewangan sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan nilai Ringgit Malaysia menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kadar inflasi dan hutang kerajaan yang kian bertambah.

Pada sesi soal jawab pula, Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai inisiatif dilaksanakan kementerian berkenaan bagi mengawal dan memantau harga tiket penerbangan domestik pada kebanyakan masa yang mahal dan tidak berpatutan.

Iklan

Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan prestasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam menangani kenaikan kadar inflasi keseluruhan yang meningkat kepada 4.4 peratus dan inflasi makanan kepada 6.9 peratus pada Julai 2022 sepertimana laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) terbitan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM).

Dewan Rakyat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.

Iklan

Turut tersenarai adalah pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (Pindaan) 2022 (Dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas), selain Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 32 hari dari 3 Oktober hingga 29 November. - Bernama