JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia direman bagi membantu siasatan kes kanak-kanak tiga tahun didera hingga mati di Taman Skudai di sini pada Ahad.
Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai jurujual kenderaan merupakan suspek utama, manakala wanita warga asing itu pula adalah pembantu rumah yang digajikan lelaki tersebut di kediaman miliknya.
Perintah reman selama seminggu bermula pada Selasa terhadap jurujual tersebut, 28, dan pembantu rumah berkenaan, 40, dikeluarkan Majistret R Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Kedua-dua tertuduh dikenakan perintah reman itu bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 9 pagi.
Pada Isnin, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam sidang akhbar dilaporkan berkata, kedua-dua suspek tersebut ditahan di kediaman mereka pada tengah hari Isnin.
Menurut beliau, mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan itu ditemukan maut dengan beberapa kecederaan di tubuh badannya, antaranya lebam dan luka kecil.
"Pengadu iaitu bapa mangsa membuat laporan polis setelah dia berkunjung ke kediaman suspek yang juga rakannya. Suspek telah diamanahkan untuk menjaga dua anak pengadu dengan bayaran RM2,800 sebulan.
"Bapa mangsa bekerja di Singapura, manakala ibunya bekerja di Yong Peng. Difahamkan, mangsa dan adiknya yang berusia setahun telah dijaga suspek sejak tiga bulan lalu. Dalam kes ini hanya mangsa dipercayai didera, manakala adiknya tidak diapa-apakan," katanya.