Malaysia tidak menuju ke arah krisis ekonomi, kewangan

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan Malaysia tidak menuju sebarang krisis ekonomi dan kewangan, meskipun nilai ringgit menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keadaan ini didorong oleh asas ekonomi dan sistem kewangan negara yang lebih kukuh berbanding ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1997-1998 lalu.

Iklan
Iklan

"Walaupun kita (ketika ini) dilanda beberapa cabaran yang berpunca daripada faktor luaran yang berada di luar kawalan kerajaan, saya ingin menegaskan negara kita tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi dan kewangan.

"Keadaan ekonomi negara sekarang amatlah jauh berbeza dengan apa yang berlaku pada krisis ekonomi Asia yang saya kongsikan tadi. Asas ekonomi dan sistem kewangan Malaysia kini jauh lebih berbeza dengan pelbagai pembaharuan ekonomi dan kewangan yang dilaksanakan berikutan krisis kewangan Asia tersebut.

Iklan

"Sebagai contoh pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi dan kita boleh pelbagaikan ekonomi dan lebihan semasa didorong oleh eksport yang pelbagai,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang memintanya menyatakan sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan nilai ringgit menjunam berbanding dolar AS.

Iklan

Tambahnya, setakat tahun ini juga, akaun semasa negara kekal positif dengan jumlahnya lebih RM3 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion suku kedua.

Bank Dunia baru-baru ini memberi amaran dunia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan pada tahun depan ketika bank-bank pusat secara serentak menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi.

Menurut kajian mereka, bank-bank pusat seluruh dunia menaikkan kadar faedah pada tahun ini kepada tahap yang tidak pernah disaksikan sejak lima dekad lalu.