SHAH ALAM - Kerja baik pulih ban di beberapa kawasan titik panas banjir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning selesai dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan negeri.
Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau berkata, ia membabitkan Kampung Bukit Lanchong, Lanchong Jaya, Alam Megah, Kampung Baru Hicom dan Taman Sri Muda.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga telah mengambil langkah proaktif membersihkan dan membina longkang serta dinding konkrit yang menelan belanja sebanyak RM28 juta.
Bagaimanapun, beliau berkata, projek pemasangan rumah pam di beberapa lokasi berkaitan belum dimulakan dan perlu disegerakan bagi mengelak banjir berulang susulan ramalan fenomena air pasang besar.
"Setakat ini belum nampak sebarang projek dilaksanakan oleh kerajaan pusat terutama di kawasan saya. Harap mereka bukan cakap-cakap kosong sebaliknya buat sesuatu dengan lebih awal.
"Sepatutnya perancangan sempurna dibuat dari awal di sepanjang Sungai Klang. Saya bimbang Taman Sri Muda sekali lagi menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
V Ganabatirau yang juga ADUN Kota Kemuning menggesa kerajaan Persekutuan menunaikan janji untuk melaksanakan projek menangani isu banjir di Selangor melalui pengumuman dana RM10 bilion.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter (mm) bermula pertengahan Oktober hingga Disember.