PENYERANG legenda Argentina, Gonzalo Higuain mengumumkan akan bersara di penghujung musim Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat (AS).
"Sejujurnya telah tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak selepas segala yang terbaik selama ini.
"Terima kasih kepada ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan, selain rakan sepasukan dan kelab yang pernah saya berkhidmat sebelum ini.
"Semua tugasan penting pasukan musim ini berjaya dilaksanakan, selain tumpuan kini untuk layak ke playoff," kata pemain berusia 34 tahun itu selepas membuat pengumuman tersebut dalam sidang akhbar bersama pengendali kelab MLS, Inter Miami, Phil Neville.
Kerjaya Higuain menyaksikan dia bermain untuk kelab elit Eropah seperti Real Madrid, Napoli, Juventus, AC Milan dan Chelsea sebelum ke AS pada 2020.
Dia juga telah memenangi 13 trofi berbeza dan semasa di Madrid memenangi kejuaraan liga Sepanyol tiga kali dan Piala Raja Sepanyol sekali.
Di Real Madrid, Higuain juga membuat 190 penampilan dan menjaringkan 107 gol untuk Los Blancos, paling banyak daripada mana-mana kelab dalam kariernya.
Sementara di Serie A Itali, Higuain telah merangkul tiga kejuaraan Piala Itali, salah satu ketika bersama Napoli pada musim 2013-14, yang menyaksikannya bermain 104 perlawanan dan menjaringkan 71 gol.
Higuain kemudian berpindah ke Juventus pada musim 2016, di mana dia akan membuat 105 penampilan, menjaringkan 48 gol, memenangi dua lagi Piala Itali serta tiga gelaran Serie A.
Di Juventus, dia telah dipinjamkan ke AC Milan, sebelum ke Chelsea yang menyaksikannya Higuain memenangi Liga Europa 2018-19.
Higuain bermain 71 kali untuk Argentina, menjaringkan 31 gol dan bermain di final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, ketika pasukannya tewas kepada Jerman.